ASSALAMUALAIKUM



Rabu, 25 Mei 2011

Apa Yang Ada Dalam Hatinya

Bila direnung wajahnya, selalu difikiran ini berkata, apa yang ada dalam hatinya. Sedihkah, kecewakah dia, rasa rendah diri, rasa terpinggirkah dia dan pelbagai andaian yang sentiasa hadir diminda ini.

Bohonglah kalau tidak sedih atau kecewa. Tentu perasaan ini sentiasa bermain dalam hatinya. Tetapi tidak dapat dibaca oleh orang lain. Sedang rakan sebaya sibuk membina kehidupan dan kerjaya, dia terpaksa reda dengan ketentuan Ilahi. Sakit yang dialami semakin tidak menampakkan sinar untuk sembuh. Malah penyakit lain pula datang bertandang. Sudah puas berubat kehospital, jumpa pakar, berubat tradisional tapi sakitnya tetap tiada apa-apa perubahan. Mungkin itu ujian Allah untuknya. Seperti kata seorang saudara, Allah menguji orang yang kuat untuk menerima ujianNya. Mungkin beliau salah seorang darinya. Doktor juga pernah berkata dia seorang yang kuat dan tabah menghadapi sakitnya. Diharap biarlah kekuatan yang ada dalam dirinya dapat membantu dirinya mendapatkan semangat untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.

Memang semangatnya pernah hilang sewaktu penglihatannya mula kurang jelas. Manakan tidak dilahirkan normal seperti orang lain, membesar, ceria dan aktif seperti remaja lain. Minatnya terhadap bidang automotif memang terserlah sejak dibangku sekolah lagi. lantas dia mengambil jurusan ini di Politeknik.  Kita hanya merancang Tuhan yang menentukan. Disangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari.  Ini lah yang terjadi. Belum pun sempat menuai hasil penat lelah belajar, dia disahkan menghidap penyakit yang berkaitan saraf dan menyebabkan penglihatannya mula kurang jelas dari sehari ke sehari. Impian yang tinggi melangit kini terpaksa dilupakan untuk satu tempoh masa yang tidak dapat dinyatakan.  Mungkin satu hari nanti, jika diizinkan Allah, impian ini akan terlaksana. Hanya kesabaran yang diperlukan.

Di Pusat Latihan Orang Cacat Penglihatan memberi semangat dan satu suasana baru baginya. Dapat belajar braille, refleksiologi, belajar berdikari dan yang lebih penting dapat bergaul dengan kawan-kawan yang saling memahami dan senasib dengannya. Mungkin disini dia dapat membuang rasa kecewa dan rasa rendah diri kerana sebenarnya ramai lagi yang mengalami nasib sepertinya cuma caranya yang berbeza-beza.

Walau bagaimanapun keadaannya sekarang ini,  ada kasih sayang yang sentiasa bersama-samanya yang dapat menguatkan lagi semangatnya untuk melawan sakit. Dia masih lagi punya  adik beradik yang akan sentiasa bersama baik susah atau senang. Tidak sesekali kami membiarkan ia jatuh keseorangan. Setelah kehilangan abah dan ibu kamilah yang bertanggungjawab untuk menjaganya. walaupun aku antara yang kurang menjaganya tetapi jauh disudut hati aku tetap mengharapkan yang terbaik untuknya.

Teringat kata-kata seorang ahli panel dalam rancangan semanis kurma. Beliau memberi 3 contoh iaitu, sebatang carrot, sebiji telur dan sebiji biji kopi serta air panas. Katanya:
a)  jika carrot yang keras dimasukkan dalam air panas, carrot itu akan menjadi lembik
b) jika telur yang cair dan lembik dimasukkan dalam air panas, ia akan menjadi keras
c) jika biji kopi dimasukkan dalam air panas ia akan merubah warna air panas itu;
Maksud disini,
a) air panas ibarat musibah, carrot merujuk kepada orang yang luarannya nampak keras dan tegas tetapi bila ditimpa musibah dia akan jatuh dan lemah hingga tidak mampu menempuh musibah itu.
b) Telur ibarat orang yang lemah tetapi bila diuji dengan musibah ia kan menjadi kuat untuk melawan musibah itu.
c) biji kopi adalah contoh orang yang dapat menempuh musibah dan seterusnya mengubah  ia ke arah yang lebih baik (bangkit dari kesedihan dan mengubah kehidupannya)

Sebagai kakak, diharap adikku  ini menjadi seperti biji kopi yang boleh mengubah kehidupannya menjadi yang terbaik. INSYAALLAH. Moga ALLAH mendengar dan memakbulkan doa-doamu. Amin.

Tiada ulasan: