ASSALAMUALAIKUM



Ahad, 31 Julai 2011

Marhaban ya ramadhan


ESOK MULA PUASA,
SELAMAT BERSAHUR.
Apa nak masak untuk sahur pertama ni ye. Ini yg susah nak fikir.
Yg pasti kali pertama sahur mesti ada nasi. Bagi tenaga sikit.

Khamis, 28 Julai 2011

Ramadan yang di nanti

Tinggal beberapa hari lagi untuk semua umat Islam menyambut kedatangan bulan Ramadhan. Bulan  yang sangat istimewa dan dinantikan. Kebiasaannya kebanyakkan  umat Islam akan melipat gandakan amalan kerana banyak fadilat yang menanti. Suasana di bulan Ramadhan tidak dapat diucapkan dengan kata-kata. Amat berbeza dengan bulan-bulan yang lain.

Walau pun puasa, aktiviti harian tetap berjalan seperti biasa. Cuma tak perlu fikir nak sediakan sarapan dan makan tengah hari. Anak-anak semua dah besar, Jadi semua dah berpuasa. Bagi kebanyakkan kaum ibu, waktu sahur dan berbuka adalah saat memeningkan kerana nak buat persiapan untuk keluarga. Mula fikir apa menu nak buat untuk bersahur dan apa pula menu untuk berbuka.

Saat2 begini terasa rindu kepada arwah ibu dan ayah. Terkenang masa zaman kanak-kanak. Bila bangun sahur, makanan telah tersedia. Tinggal basuh muka, gosok gigi dan makan. Kadang-kadang tu mak yang suapkan nasi. Mata masih lagi terpejam. Lepas makan tunggu masuk sembahyang subuh.. Baru boleh sambung tidur balik. Semua urusan masak dan basuh pinggan, mak dan kakak yang buat. Sekarang bila dah jadi mak baru tahu. Pening kepala apa nak di masak untuk keluarga waktu sahur. Tapi masa akak kecil, apa yang dihidang, telan aje. Semua rasa sedap. Tapi anak-anak sekarang memilih sikit. Ada aje yang tak berkenan di hati mereka. Alahai anak mak.

Kalau teringin nak makan macam-macam pergi lah ke Bazar Ramadhan.  Macam-macam ada . Sebut je nak makan apa pasti dapat. Adat bila berpuasa mula le mengidam nak makan itu dan ini. Apa yg nampak semua rasa teringin tapi bila perut dah sendat, semuanya dah tak larat nak telan. Akhirnya terbuang. Kalau tak dibeli takut teringat2. Moralnya, fikir  baik2 sebelum membeli, takut membazir.






Selamat menjalani Ibadah puasa kepada semua umat Islam. Semoga ibadat puasa kita tahun ini lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya dan diterima olehNya. Jaga kesihatan, jaga pemakanan supaya kita dapat menjalani ibadah puasa ini dengan sempurna. Jangan terlebih gula ataupun garam semasa bersahur ataupun waktu berbuka. Salam Ramadhan.






Rabu, 27 Julai 2011

Seronoknya merasa kuih raya

Dalam minggu ni bukan bahang Ramadan saja yang makin terasa.
Suasana nak raya pun dah terasa-rasa. Manakan tidak,
setiap hari ada saja sample kuih atas meja. Siap tulis nota lagi, "sila rasa dan
jika nak tempah guna borang yg disediakan". Sample kuih pulak
 bukannya sikit, sampai satu balang , wah ini memang betul-betul suruh rasa.
Dah di beri green light, apalagi sapu bersih satu balang.
Masa ni lah peluang nak rasa kuih yg rata-rata mengikut citarasa.
Sedap-sedap belaka. Hingga tak tahu mana satu nak di order.
Nama kuih memang dasyat sampai susah nak sebut. Dari kuih tradisional seperti semperit,
baulu, makmor , putu kacang sampai le kuih moden
seperti almond london, crunchy fantasia, golden ring dan mcm2 yg susah nak di sebut namanya.
Bila dah puas merasa kuih, terlupa pulak nak order. Ini yg buat tukang jual garu kepala.

Kalau ikut rasa hati, semua nak dibeli, tapi kena tgk jugak bajet,
pasai kuih tunjuk2 ni adakalanya mahal sangat.
Kalau beli 5 jenis kali dengan RM 24.00 sejenis dah jatuh berapa ringgit. 
Tapi menurut tukang jual, tak pe setahun sekali nak jamu tetamu.
Termakan juga dengan kata-katanya, beli jugak le 2, 3 jenis.

Biskut raya yg paling akak suka sudah tentu lah tart nenas.
Dari kecil sampai sekarang kuih ni mesti ada dalam senarai.
Masa dulu arwah mak memang gemar buat tart nenas, makmor dan semperit.
Selalunya akak ni jadi pembantu. Sekadar masukkan kuih dalam balang je.
Mana yg terhangit atau terpecah, peluang untuk akak makan.

Kuih-kuih ni masih lagi menjadi kegemaran 

Sebahagian biskut raya yang akak dah rasa. Sedap...Rangup dan berkrim

Pada hari raya, kebiasaannya biskut2 raya kurang laku. 
Tuan rumah dah jamu macam-macam. Laksa, lontong, mee kari, ketupat rendang semua menyelerakan.
 Makan itu dah mengenyangkan. Tunggulah  selepas raya,  serbuk kuih pun boleh licin dibuatnya.

Ahad, 24 Julai 2011

Sehari Di Kuala Sepetang

Sabtu baru ni merupakan aktiviti lawatan sambil belajar kali kedua untuk tahun 2011. Destinasi kali ini ialah di Kuala Sepetang Taiping. Lebih kurang 2 jam perjalanan dari Ipoh.

Tempat pertama yang dituju ialah ke Hutan Paya Bakau Matang. Sebaik sampai, ahli rombongan di beri taklimat oleh pegawai yang bertugas. Aktiviti seterusnya melihat pokok bakau melalui trek laluan yang dibina. Menarik tempat ni. Rasa tenang dan damai apabila melihat suasana di sekeliling hutan. Kami juga di bawa melawat ke jeti berhampiran melihat pokok bakau dipersisiran sungai. Bot  boleh di sewa dengan harga RM250.00. Boleh muat sepuluh orang. Menurut pegawai tersebut, sungai ini boleh disusuri hingga ke Selat Melaka. Perjalanan dari jeti lebih kurang satu jam. Kalau nasib baik boleh berjumpa dengan ikan lumba-lumba. Semua rasa teruja tapi hari ni tiada perkhidmatan bot disediakan.
Kalau ada pun tak mampu nak sewa.


Pemandangan di bahagian hadapan

Pokok bakau  yg dah berusia 64 tahun
Ini dia pokok bakau yang ada di Hutan Paya Matang

Tempat kedua dilawati ialah di Kilang Arang (tempat proses kayu bakau menjadi arang). Suasana di persekitaran memang tidak memuaskan kerana dari jauh sudah terbau asap yang dikeluarkan dari kilang. Nampak habuk yang berjelaga tu pun dah cukup merisaukan kami. Tapi digagahi juga untuk mengetahui lebih lanjut proses membuat kayu arang (charcoal).

Menurut pegawai di situ, terdapat lebih kurang 100 dapur membakar kayu untuk dijadikan kayu arang. Satu dapur boleh memuatkan lebih kurang 9 tongkang kayu bakau (lebih kurang 1000 batang kayu).
Yang paling mengkagumkan ialah  proses menyusun kayu (1000 batang tu) dalam dapur dilakukan oleh seorang pekerja sahaja dan mengambil masa selama 2 hari. Upah yang diberi ialah RM400. Kebanyakan pekerja di kilang arang ni sudah berusia lebih 50 tahun. Akak sempat bertanya seorang pekerja di situ yang berumur 64 tahun. Beliau sudah bekerja dikilang arang tu sejak berusia 20 tahun. Tugas pertama yang dibuatnya ialah membuang kulit kayu. Sebelum kayu dibakar, kulitnya perlu dibuang.Proses membakar kayu ni memakan masa selama satu bulan. Barulah betul-betul menjadi kayu arang. Kaum wanita juga ramai bekerja sebagai pengopek kulit kayu dengan upah 17 sen satu batang. Satu hari mereka hanya boleh buat untuk seratus batang. Bayangkan berapa sangatlah yang mereka dapat.

 Sebahagian lagi wanita  bekerja dibahagian pembungkusan. Di sini upah yang diberi 15 sen untuk satu bungkusan yg dibuat. Sikitnya upah yang mereka dapat. Dalam suasana tempat kerja yang panas dan persekitaran yang kurang selesa. Tapi mereka tetap tekun bekerja. Untuk mencari rezeki yang halal kata mereka. Di tempat inilah mereka mencari rezeki selama bertahun-tahun.
Semoga mereka di beri kesihatan yang baik selamanya.
Bila melihat mereka bekerja, timbul rasa keinsafan dalam diri.


Suasana dalam kilang arang. Dapur tempat kayu bakau dibakar.

Dari kilang arang kami ke kg nelayan. Di sini ada jeti tempat menurunkan hasil-hasil laut yang segar. Tapi akak tak beli pun. Susah nak bawa. nanti berbau pulak dalam bas. Memang hasil lautnya sangat segar. Dapatlah melihat nelayan memunggah hasil laut ke jeti. Tapi gambar  tak dapat ambil.
Handbag tertinggal dalam bas.

Dah sampai ke Kuala Sepetang, tak sah kalau tak pekena mi udang. Singgah lah di warong Mak Jah. Macam-macam menu berasaskan udang ada di sini. Warong ni antara yang popular di kuala Sepetang.
Masing-masing sibuk nak rasa penangan mi udang Mak Jah. Akak order mi udang special. Harga RM11.00. Ada 7 ekor udang yang bersaiz besar di dalamnya. Udangnya memang segar. Bagi penggemar udang tentu tak cukup tujuh ekor tu. Selain mi udang ada mee goreng udang yang terdapat udang besar juga. Dan yang akak rasa paling sedap ialah cucur udangnya. Tambah pula dimakan panas-panas. 2, 3 pinggan boleh licin.
Malangnya akak tak ambil gambar mi udang dan gambar menu yang lain. Kenapa? kerana saat itu perut terlalu lah lapar, dah tak ingat perkara lain selain nak isi makanan je.
Bila masuk bas baru teringat, gambar tak di ambil.

Seronok pergi lawatan ni. Maklum lah percuma je. Bila sampai rumah baru terasa letihnya.
Kepala pun mula nak pening. Apalagi kena tidur dulu jawapnya. zzzzzzzzzzzzzz



 

Sabtu, 16 Julai 2011

ReUnion

ReUnion atau dalam bahasa orang kita perjumpaan semula. Dah jadi trend masa kini, ada je reunion yang dirancang baik pada  hujung minggu atau pada musim cuti sekolah. Dari bekas pelajar sekolah hinggalah bekas pelajar Institut pengajian tinggi, pasti tak terlepas mengadakan reunion masing-masing. Apa istimewanya reunion ni ye?

Bila  reunion dapatlah kita berjumpa semula ngan kawan-kawan yang pernah belajar bersama-sama. Masa di sekolah atau masa zaman belajar kan banyak kenangan.  Jadi bila dah berkumpul semula dapat le mengimbas  nostalgia dulu. Baik yang manis mahupun yang pahit. Dapat juga kita mengetahui kisah-kisah kawan yang dah lama tak berjumpa. Apa, mengapa, bagaimana,kenapa dan dimana. Semua info tu kita boleh dapat masa reunion. Selain tu dapat juga mengeratkan kembali silaturrahim.

Tahniah buat sesiapa sahaja yang berjaya menganjurkan reunion dengan jayanya. Bukan senang nak mengumpulkan semula semua kawan-kawan . Maklum sajalah, masing-masing dah ada komitmen. Dah sibuk dengan kerjaya dan  keluarga. Silap-silap haribulan hanya 2, 3 orang je yang muncul. Nak pilih tarikh dan tempat pun ada masalah juga. Ada yang nak tarikh ni, orang lain pula tak dapat. Ada yang nak buat di tempat ni, orang lain tak setuju. Pening kepala ketua yang mengelolakannya.
Ada yang suka buat dihotel, ada yang suka buat di sekolah lama lebih nostalgia katanya.
Macam-macam pendapat yang diberi. Akhirnya tak menjadi.

Akak pun pernah join reunion bekas pelajar Uitm batch akak , 2 tahun lepas.  Walaupun dah bertahun-tahun tak jumpa tapi masih lagi boleh kenal kawan-kawan. Cuma yang berubah fizikal aje lah. Ada yang dah semakin besar. Ada yang bertambah kecil. Ada yang dah botak dan ada yang masih maintain. Kalau dah lama tak jumpa, sembang pun tentu panjang. Banyak benar cerita yang nak dikongsi. Dari nostalgia masa belajar bersama hinggalah cerita terkini lagi sensasi. Baru-baru ni pun ada kawan yang ajak buat reunion lagi. Masa dan tempat pun dah dipilih oleh ketua reunion, tapi  ramai yang tak dapat join. Lagipun baru saja jumpanya. Biarlah 3 atau empat tahun lagi, barulah best nak bukak cerita.



Selasa, 12 Julai 2011

Siap sudah

Anak bongsu akak masuk gimrama sempena sukan tahunan sekolahnya.
Teruja sungguh bila terpilih untuk acara tu. Budak-budak memang tahu seronok je.
Yang dia tak tahu penatnya berlatih nanti dalam musim yang panas ni.

4 hari lepas , anak akak sibuk suruh beli tali rafia. Warna biru katanya.
Untuk apa akak tanya. Nak buat pom-pom.
Demi anak tersayang, beli la juga   2 gulung. Nak buat disekolah katanya.
Dalam hati berkata, menambah kerja cikgu aje.  Rupanya tidak.
Anak akak bawa balik tali tu bersama ukuran yang telah dibuat oleh cikgunya.
Nampak gaya, proses seterusnya akak le yang kena buat. Oh... tidak.
Tapi kalau bukan akak, sapa lagi. Kesian pulak tengok dia terkial-kial potong tali-tali tu.
Buat juga le dengan penuh kasing sayang.

Mula-mula kena potong tali ikut ukuran yang cikgu beri.
Lepas tu kena belah-belah tali tu supaya ia menjadi halus dan gebu.
Tak susah manapun. Tapi renyah tang nak jadikan tali tu halus-halus.
 Lenguh juga le jari jemari akak ni.
Akhirnya siap juga tali pom-pom seperti yang dikehendaki.
Senyum sampai telinga si bongsu akak ni.



Ini le rupa pom-pom tu. Tak tahu le apa perkataan yang sesuai untuk benda ni .
Yang pasti anak puas hati. Tak sabar dah nak berlatih gimrama hari ni.
Bukan apa nak tunjuk kat cikgu. Buatnya cikgu kata tak cantik, habislah kena buat lain.
 Harap-harap cikgunya terima le pom-pom ni seadanya.

Kalau terjumpa benda macam ni tengah-tengah malam, mau bukak langkah seribu, cabut lari.

Selamat bergimrama anakku.


Ahad, 10 Julai 2011

Senaman paling ringkas

Bersenam adalah perkara yang jarang masuk dalam agenda akak seharian. Berjogging pun rasa-rasanya tahun lepas adalah sikit. Boleh dibilang dengan jari. Tahun ni tak de lagi. Selalunya akak walking je. Itupun kat tempat kerje. Sebab dah terpaksa, kalau tak walking tak sampai le ke kelas.

Kalau hari tu sibuk sangat dengan kerja samada di tempat kerja atau di rumah, badan pun mula le rasa lenguh-lenguh, tengkuk, bahu sampai le ke belakang sakitnya. Mula le cari minyak angin sapu kat bahagian yang lenguh atau sakit. Akak suka guna minyak angin yoko yoko. Sedap rasanya bila disapu, berangin, hilang kejap rasa sakit tu. Kadang-kadang kalau rajin akak buat senaman ringkas yang akak belajar dari seorang rakan.  Kalau kat pejabat sambil duduk atas kerusi pun boleh buat senaman ni:

ANGKAT BAHU
rapatkan bahu ke telinga (kalau tak boleh jangan paksa ye). Cuba tahan beberapa saat dan kembali kedudukan asal. Ulang 8 kali atau hingga stress kat bahu hilang.

GOYANG DAN PUSINGKAN
relaxkan pergelangan tangan, goyang dan pusingkan selama 30 saat dan ulang beberapa kali. Jangan pusing sampai terseliuh pulak. Agak-agak le ye, macam usup wilcha buat. Tapi tak perlu angkat tangan ke atas.

GENGGAM DAN LEPAS
luruskan tangan ke depan, genggam jari-jari tangan dan lepas, ulang beberapa kali. Kemudian depakan tangan, genggam jari dan lepas, ulang. Luruskan tangan ke atas pulak, genggam jari dan lepas, ulang beberapa kali.

TARIK NAFAS DALAM-DALAM
tarik nafas dan tahan beberapa saat, kemudian lepaskan perlahan-lahan. Ulang beberapa kali.

Namapun senaman ringkas, itu je le yang perlu dilakukan. Senangkan.



Sabtu, 9 Julai 2011

Jangan main api

Warisan

Anak Kecil Main Api
Terbakar hatinya yang sepi
Air mata darah bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang

Nenek moyang kaya raya
Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa sesamalah kita
Cinta lenyap di arus zaman

Indahnya bumi kita ini
Warisan berkurun lamanya
Hasil mengalir ke tangan yang lain
Peribumi merintih sendiri

Masa Depan sungguh kelam
Kan lenyap peristiwa semalam
Tertutuplah hati terkunci mati
Maruah peribadi dah hilang

Kini kita cuma tinggal kuasa
Yang akan menentukan bangsa
Bersatulah hati bersama berbakti
Pulih kembali harga diri

Kita sudah tiada masa
Majulah dengan maha perkasa
Janganlah terlalai Teruskan usaha
Melayukan gagah di nusantara
Melayukan gagah di nusantara
Melayukan gagah di nusantara

Pertama kali akak dengar lagu ni masa akak di tingkatan enam rendah. Masa tu ada program motivasi sempena minggu orientasi pelajar baru. Pertama kali diperdengarkan memang terkesan di hati. Lagu ni benar-benar menaikkan semangat untuk kita cintakan tanah air. Ramai pelajar yang menangis apabila sama-sama menyanyikannya. Nak tahu kenapa?  kerana kami semua sangat sayangkan negara ni. Tak sanggup apa yang kita ada sekarang hilang sekelip mata gara-gara individu yang tak bertanggungjawb.

Kali kedua semasa akak menjalani minggu orientasi di UITM. Setiap pagi dan malam, kami perlu menyanyikan lagu ni dengan penuh semangat. Kalau tak boleh menyanyi dengan betul siap le kena marah dengan senior.  Hasilnya sampai sekarang lagu ni tetap di hati.

Entry ni  di tulis disebabkan oleh senario yang berlaku hari ni di ibu negara. 58 jalan di tutup, peniaga terpaksa tutup kedai, kerugian sampai jutaan ringgit, jalan sesak teruk. Banyak aktiviti tergendala. Tak nampak pun apa faedahnya selain daripada menyusahkan semua orang.

Sekalung tahniah untuk semua anggota keselamatan yang dapat mengekang sebarang kejadian yang tidak diingini. Menjaga keamanan dan ketenteraman semua. Syukurlah tiada perkara buruk yang berlaku hari ni, untuk esok jua dan selamanya.

Jangan bermain api kerna kita tahu sifatnya membakar. Jika terbakar merana diri. Untuk pulih semula perlu masa yang panjang. Sanggupkah kita........

Selasa, 5 Julai 2011

Basikal Chopperku

Di Sinar FM ada satu segmen terkenang kisah dahulu. Tajuk segmen tu hari ni ialah basikal dan aku. Dengar je terus teringat zaman sekolah dulu. Kayuh basikal sejauh 3.5km dari rumah ke sekolah. Tak lah jauh sangat. Yang specialnya basikal yang arwah abah akak belikan tu berjenama CHOPPER. Hanya ada 2 orang je yang bawa basikal berjenama tu kat sekolah. Walaupun basikal tu hanyalah basikal second hand yang arwah abah beli dengan harga RM65.00. tapi sayangnya akak kat basikal tu macam sayangkan sebuah kereta baru yang mahal. Setiap hujung minggu mesti di basuh. Rim basikal letak minyak dan basuh dengan berus sental periuk lagi. Berkilat macam cermin. Mana tak sayang,  basikal tu le yang akak guna dari tingkatan satu sampai lima. Banyak betul jasanya.......


Macam ni le rupa basikal yang diceritakan. Unikkan bentuknya. Siap letak bakul lagi kat depan. Kat belakang pulak tempat letak beg sekolah.

Ada kisah pahit dan manis tentang basikal dan diri akak. Yang pahitnya, bila tayar basikal pecah dalam perjalanan nak ke sekolah. Masa tu akak tengah menduduki peperiksaan SPM (paper Bahasa Inggeris). Kena le sorong basikal ke kedai basikal yang terdekat. Malas nak tunggu, akak pun berjalan le lebih kurang 1.5km lagi ke sekolah. Disebabkan ini, akak terlambat masuk ke dewan peperiksaan. Nasib baik pengawas peperiksaan tu sporting, jadi terus duduk dan jawab soalan. 

Yang manisnya, semasa dikejar anjing. Akak kayuh basikal macam bawak kereta kat litar lumba. Tapi malang tak berbau, basikal terlanggar tunggul kayu dan jatuh. Agaknya disebabkan bunyi basikal yang jatuh tu kuat, anjing pun terkejut dan patah balik ke rumah tuannya. Tak jadi nak main kejar-kejar dengan akak lagi. Itu le manisnya sebab basikal tu dah pun menyelamatkan akak daripada dikejar anjing. Akak pun tak cedera teruk, cuma luka sikit je.

Baru atau lama, sama sahaja. Kalau dijaga dengan baik yang lama pun akan jadi seperti yang baru. Macam basikal akak tu le. Teringin lak nak naik basikal tu. Nostalgia.....


Ahad, 3 Julai 2011

Wan Masuk Hospital Lagi

Hari ni ntah kali ke berapa Wan masuk wad yang sama, di Hospital Kuala Lumpur. Itu lah rutin adikku ini sejak 3 tahun yang lalu. Asyik keluar masuk wad. Hospital ni dah jadi rumah kedua baginya. Apa penyakitnya, belum  dapat di kenalpasti. Yang pasti matanya tetap belum boleh melihat seperti sediakala.

Pelbagai andaian yang doktor berikan. Sakit MS , Epilepsi , pembekuan darah dalam otak dan ada yang mengatakan jangkitan kuman. Berbagai diagnosis juga dibuat. Dah ambil sel bibir , sel kulit, MRI, X-ray, ambil air tulang belakang, kalau ambik darah memang tak boleh nak kira dah le. .

Hari ni,  doktor nak masukkan kamera dalam perutnya. Nak cari punca penyakit melalui perut pulak. Harap-harap apa yang doktor buat ni adalah yang terbaik buat Wan. Sebagai kakak, saya amat berharap dan berdoa agar Wan cepat sembuh dan dapat menjalani kehidupan seperti dulu. Dalam usia yang masih muda (26 tahun) tentu ada impian yang ingin digapainya tapi tak tercapai dek penyakit yang menyerang secara tiba-tiba. Wan sentiasa berharap untuk sembuh. Banyak2kan berdoa dan memohon dariNYA. Insyaallah masih ada sinar untukmu.

Larian Serentak 1 Murid 1 sukan


Larian serentak 1 Murid 1 sukan telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 2 Julai 2011 di Padang Esplanade Taiping, Perak. Larian ini selaras dengan dasar 1 murid 1 sukan yang mewajibkan semua murid mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya 1 jenis sukan di sekolah.

Seramai lebih kurang 4.1 juta pelajar  diseluruh negara menyertai larian peringkat kebangsaan ini yang dimulakan serentak pada pukul 7.45 pagi. Acara  ini telah mencipta rekod di dalam Malaysia Book of Records (MBR) bagi kategori larian pelajar sekolah serentak terbesar.


Caiyok, Caiyok, Gambateh.... ayat popular pelajar untuk menaikkan semangat dalam apa jua acara .

Anggap je sebagai "morning walk" kata mereka yang menyertai larian ini. Guru pun tak kurang hebat, murid pun bersemangat. Walaupun saya tak berlari bersama pelajar tapi tugas tak kurang pentingnya. Tunggu di checkpoint bagi memastikan laluan larian lancar dan keselamatan murid terjamin. Aktiviti berjaya dijalankan  seperti yang dirancang. Alhamdullillah. Lepas ni apa lagi kerja yang nak datang. Tetap akan dilaksanakan dengan sebaik mungkin.



Jumaat, 1 Julai 2011

SMS awal pagi

Awal pagi tadi dapat satu sms dari seorang sahabat. Tapi tidak dikenali siapa penghantarnya kerana yang keluar hanya no. telefon sahaja. Nombor yang tak pernah muncul dalam handphone saya. Agaknya sahabat saya ni dah tukar nombor telefon baru kot. Mesejnya membuat saya terharu. Berbunyi:

sms ini dikirim hanya pada wanita-wanita yang tersayang di bulan Rejab ini:

YA ALLAH, WANITA INI ADALAH WANITA SOLEHAH YANG CANTIK, KUAT DAN SABAR. SAYANGILAH DIA SERTA KASIHANILAH DIA. TOLONG BANTU TINGKATKAN KEHIDUPANNYA, MURAHKAN REZEKINYA, SIHATKAN BADANNYA.

JIKA DIA MELANGKAH, MUDAHKAN LANGKAHNYA DAN SELAMATKAN DIA. AMIN

KIRIM KE 9 WANITA YANG KAMU SAYANGI. INSYAALLAH DALAM 9 MINIT HIDUPMU AKAN BAHAGIA KERANA 9 WANITA ITU JUGA AKAN MENDOAKANMU. AMIN.