ASSALAMUALAIKUM



Khamis, 8 Disember 2011

4 makanan bantu kurus

Macam tahu2 aje. Sedang sibuk menyusun  suratkhabar lama untuk dijual akak terjumpa satu artikel dalam surat khabar Berita Harian. Tajuknya `4 makanan bantu kurus (petua tradisional berkesan tingkat metabolisme dan kurangkan berat badan). Elok sangatlah, dapat juga beri akak idea untuk menurunkan berat yang naik mendadak ni. Kalau tak di cuba kita tak tahu keberkesanannya. Makanan yang mudah di dapati dan tak mengeluarkan belanja yang mahal.

Teh Hijau
Kajian sains mendapati apabila anda minum dua hingga empat cawan teh hijau sehari, ia akan membakar kalori di dalam badan, sebanyak 17 peratus lebih tinggi daripada biasa dalam masa yang singkat. Sebaiknya, minum teh hijau ketika kita melakukan aktiviti untuk meningkatkan keberkesanannya. Beberapa kajian membuktikan ekstrak cannatic dan asid gymnemic dalam teh baik untuk mengurangkan keinginan untuk makan benda manis. Teh hijau juga membantu melancarkan penghadaman dan menstabilkan kandungan gula dalam darah serta suhu badan. Kalau nak turunkan berat badan amalkanlah minum teh hijau setiap hari dan sebaiknya diambil sebelum makan.

Halia
Juga dapat meningkatkan kadar metabolisme dan membakar kalori. Halia juga meningkatkan suhu tubuh hingga meransang mekanisme pembakaran lemak dalam tubuh. Bagi yang ingin menurunkan berat badan, bolehlah mencuba mengamalkan petua ini.
* Kisar tiga inci halia dengan setengah cawan air. Tapis dan perah sebiji limau dan sedikit gula. Amalkan meminumnya sebelum tidur. Angin pun boleh keluar daripada badan kalau kita minum air halia ni.
*Untuk wanita yang berpantang selepas bersalin pun boleh menggunakan halia jika ingin kekal lansing. Caranya:  Tumbuk halia bersama lada hitam dan ikan bilis. Perah sedikit air limau. Makan bersama nasi panas pagi dan malam. Sedap juga ni. Tak berpantang pun boleh makan.

Limau Gedang
Buah ini baik dalam menentang lemak kerana mengandungi bahan khusus membakar lemak pada tubuh.
Pengkaji mendapati pengambilan separuh daripada limau ini sebelum makan boleh menurunkan berat badan.. Asid sitrik yang terdapat dalam buah ini dapat mengurangkan kalori yang terkadung dalam makanan yang kita makan. Kandungan vitamin C dalam buah ini juga baik untuk kesihatan badan. Rupa buah ni sebiji macam buah oren tapi saiznya besar sikit dan bagi akak rasanya masam, manis dan ada sedikit kelat/pahit.

Cuka
Pengambilan cuka sebanyak satu sudu teh dikatakan melambatkan rasa lapar. Khasiat cuka termasuklah mencegah dan menyembuhkan penyakit seperti arthritis, alergi, gangguan pencernaan serta memecahkaan molekul lemak sekali gus membantu proses penurunan berat badan. Kajian di Minnesota, Amerika Syarikat, menunjukkan orang yang mengambil cuka epal dua sudu setiap hari selama 8 minggu dapat meningkatkan tahap kolestrol baik. Tapi akak ni tak tahan makan cuka. Sakit perut.

Kenalah cari yang mana paling mudah nak dapat. Kalau akak, rasanya halia senang sikit, banyak kat market. Lagi pun boleh membantu membuang angin dalam badan. Limau gedang pun ada dijual di kedai buah depan rumah akak tu.  Pokok pangkalnya, kenalah rajin amalkan. Kalau tidak semuanya tak akan mendatangkan hasil yang baik.

Cepatnya berat bertambah

Cepatnya berat nak naik. Baru cuti 3 minggu berat  dah bertambah hampir 4kg. Kalau nak turunkan berat pulak memang payah. 4 bulan pun belum tentu boleh turun 0.4kg. Ada juga niat nak pergi jogging atau walking untuk keluarkan peluh. Tapi sekarang ni setiap petang hujan. Terpaksa batalkan niat tersebut. Nak pergi sebelah pagi, maklum ajelah banyak kerja rumah yang menanti.
Alasan yang sering di berikan untuk yang malas bersenam  macam akak.

Bila cerita tentang berat badan, teringat satu artikel di suratkhabar yang akak terbaca. Tentang obesiti , di mana Malaysia berada pada tempat pertama di ASEAN dan keenam di rantau Asia Pasifik. Serius juga kadar obesiti di Malaysia. Salah satu punca masalah itu adalah kerana pengambilan gula yang berlebihan di kalangan rakyat Malaysia. Betullah tu, makanan yang kita ambil kebanyakkannya manis2. Dari Kuih muihnya hinggalah ke minuman, belum termasuk makanan yang berlemak. Bukan nak kata orang lain, akak ni pun kalau tak manis, memang tak boleh layan. Untuk sihat kenalah kita mengubah cara hidup kita supaya lebih peka tentang kesihatan diri. Kalau bukan kita siapa lagi.

Nampak gayanya, akak mesti menyahut kempen Kementerian Kesihatan Malaysia agar kita berjalan 10,000 langkah sehari. Aktiviti ini merupakan senaman terbaik dan mudah bagi golongan yang sentiasa sibuk dengan aktiviti harian. Atau orang yang malas macam akak ni memang sesuai sangat. Tak perlu buang duit dan tak perlu buang masa. Berjalan saje  diibaratkan kita telah melakukan beberapa senaman seperti berbasikal, berenang dan beberapa aktiviti kecergasan yang lain. Sekiranya kita melakukan aktiviti berjalan ini secara tetap dapat membantu mengurangkan risiko mendapat penyakit berbahaya seperti diabetes, hipertensi dan strok, kanser usus, osteoporosis, tekanan darah tinggi dan mengurangkan stress. Dan yang akak paling suka ialah berjalan 10,000 langkah ini membantu seseorang itu mengekalkan berat badan ideal.  Kalau dikira indeks jisim tubuh (BMI), akak ni dah berada pada paras obesiti. Kenalah kuatkan azam untuk berjalan ni, Tak dapat 10,000, akak cubalah dapatkan 1000. jadilah daripada tak buat lansung.

Berjalan 1 km = 1,250 langkah
10,000 langkah = lebih kurang 7 hingga 8km
1 minit = secara purata kita akan mendapat 100 langkah


Kesihatan kita adalah tanggungjawab kita.

Isnin, 28 November 2011

Istana Kellie

Bila akak menonton drama Nilapura yang disiarkan di TV3 tadi, terpesona pulak akak melihat lokasi penggambarannya. Menurut anak akak, penggambarannya dibuat di kellie's Castle atau dalam bahasa Melayunya Istana Kellie. Terletak berhampiran Batu Gajah, tak berapa jauh dari bandaraya Ipoh ni. Tak sampai setengah jam pun kalau menaiki kereta. Perkara biasa, kalau dah tinggal berdekatan tentu tak pernah nak pergi melawat. Tapi kerana menonton drama Nilapura, hati akak terpanggil pulak untuk membuat kunjungan ke sana. Kesempatan di musim cuti sekolah ni akak ambil untuk menjejakkan kaki ke Istana Kellie yang penuh sejarah dan misteri ni.



Istana Kellie  di bina pada tahun 1910 oleh seorang peladang getah terkemuka British
bernama William Kellie Smith.


Bangunan tiga tingkat ini dibina mengikut reka bentuk sebuah istana Moghul di bandar Agra, India.


Bangunan ini mempunyai 14 buah bilik, sebuah bilik bawah tanah dan terowong rahsia
dan dilengkapkan dengan lif yang dikatakan pertama dibina Tanah Melayu.



Koridor ditingkat bawah bangunan yang diwarnakan putih.



Reka bentuk yang unik dan menarik menjadi tarikan pengunjung



Ini ialah tingkat ke dua bangunan ini yang dikatakan untuk dijadikan sebuah
padang tenis berlantaikan simen


Di bumbung tingkat tiga bangunan. Rasa 'gayat' bila berada di sini kerana kawasan persekitaran yang terbuka tanpa pagar. Seram bila tengok bawah. Bertambah seram bila terlalu ramai pengunjung bersesak di atas ni. Takut2 pun sempat juga suruh anak berposing. 


Istana ini tidak sempat disiapkan setelah Kellie Smith meninggal dunia . Bangunan yang kekal dalam keadaan 'sedang dibina' telah menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara. Selain tu ramai juga pasangan pengantin yang merakamkan detik bahagia mereka di Istana ini.

Ahad, 27 November 2011

Salam Maal Hijrah

Pantasnya masa berlalu. Hari ni dah bermula tahun baru bagi umat Islam. 1433H. Semoga tahun ni akan menjadi lebih baik dari tahun tahun lepas.  Bila menyambut Maal Hijrah tentu teringat lagu temanya. Lagu ni dah cukup sebati di jiwa akak. Memang hafal tanpa tengok lirik. Sambil akak taipkan liriknya di sini boleh juga akak menyanyikan lagu ni dengan sepenuh jiwa.

SATU MUHARRAM DETIK PERMULAAN
PERKIRAAN TAHUN ISLAM HIJRAH
PERPINDAHAN NABI DAN UMAT ISLAM
DARI KOTA MEKAH KE KOTA MADINAH

ATAS KEYAKINAN DAN IMAN YANG TEGUH
KAUM MUHAJIRIN DAN ANSAR BERSATU
RELA BERKORBAN HARTA DAN NYAWA
DEMI MENEGAKKAN ISLAM TERCINTA

HIJRAH ITU PENGORBANAN
HIJRAH ITU PERJUANGAN
HIJRAH ITU PERSAUDARAAN
HIJRAH MEMBENTUK PERPADUAN

OLEH ITU MARI SEMUA
KITA SAMBUT MAAL HIJRAH
TINGKATKAN SEMANGAT
TEGAKKAN SYIAR ISLAM
UNTUK SEPANJANG ZAMAN

SALAM MAAL HIJRAH 1433H

Sabtu, 26 November 2011

Cuti - masa untuk relaks

Tak sedar hari berlalu begitu pantas. Dah masuk seminggu cuti sekolah rupanya. Bila cuti2 begini selalu je akak terlupa tarikh. Walaupun dah seminggu jadi suri rumah sepenuh masa, belum lagi berkesempatan menulis apa2 entry di blog tenggelam timbul akak ni. Walaubagaimana pun ada juga sesekali akak buat BW.

Cuti-cuti begini, akak tak terlalu terikat dengan masa, Lebih relax dan boleh buat apa yang akak suka sesedap rasa. Buka balik almari dan cari novel2 yang akak dah beli tapi belum lagi di baca. Membaca Novel antara aktiviti yang akak paling suka sejak remaja dulu. Minat tu masih diteruskan walaupun usia dah tak seremaja dulu. Dalam 3 hari ni akak dah pun berjaya menghabiskan sebuah novel,bertajuk UDA & DARA hasil tulisan Aisya Sofea. Antara novelis yang akak suka. Setiap kali ada novel terbaru karyanya, akak akan beli walau pun tak terus di baca. Janji novel tu dah berada dalam tangan.


 Sweet warna novel ni


Kalau teringin nak baca akak titipkan Sinopsis Yang akak ambil di bahagian belakang novel.

Sudah sekian lama terpisah kerana masing-masing mengejar cita-cita, tidak mungkin Siti Mariam menerima cinta Izzat Hilman. Kenangan lalu yang sangat menghiris hatinya sentiasa bergentayangan di hadapan mata. namun, si Uda tidak putus asa. Si Dara harus dimiliki walau apa pun yang terjadi.

Ya,mungkin ada rasa rindu di sebalik rasa bencinya terhadap lelaki itu. Namun, dalam diam, Siti Mariam masih tidak mampu membuang perasaan sayang pada Izzat Hilman. Ah, bila memikirkan wasiat arwah ibu lelaki itu, dia jadi nanar. Apatah lagi kemunculan Khalidah bagai dirancang untuk memisahkan mereka.

Hubungan boleh diteruskan, tetapi Siti Mariam meletakkan syarat. Mereka boleh bersama tetapi bersedia untuk berpisah. Tempoh yang diberi hanya tujuh bulan.

Berat sungguh syarat itu, namun, si Uda tidak peduli. Si Dara perlu akur cinta sejati mereka. Bagi izzat Hilman, Jodohnya bersama Siti mariam sangat kuat.


Bagi yang telah biasa membaca novel karya Aisya Sofea, pasti dah maklum cara penulisannya. Bahasa yang diguna dan ayat yang diguna membuatkan kita rasa tak sabar nak tahu penyudah cerita.

Selepas ni, satu lagi novel menunggu untuk dibaca. Juga novelis yang akak suka dan tak pernah ketinggalan mendapatkan hasil karyanya.


Nak tulis sinopsis juga ke. Tak perlu lah ye. Tapi akak jamin ceritanya memang the boom walaupun akak sendiri pun belum lagi membacanya.

Selamat Bercuti kepada semua warga pendidik dan
Salam Maal Hijrah

Jumaat, 11 November 2011

11.11.11

11.11.11. Istimewa ke tarikh ni?  Bagi yang memang meminati nombor-nombor unik begini, sudah pasti mengatakan ianya satu susunan nombor atau angka yang cantik dan ada yang tersurat dan tersirat di sebaliknya. Tapi bagi akak yang tak berapa nak pandai tentang nombor,
tidak merasa apa-apa pun tentang angka 11 ni.
Apa yang akak tahu, bulan sebelas atau bulan November ini ada 2 hari penting bagi akak iaitu harijadi akak
dan hari ulang tahun perkahwinan.

Tarikh sebegini memang sangat dinanti oleh sebahagian pencinta susunan angka yang menarik. Kata mereka tarikh-tarikh ini hanya muncul sekali sahaja. Di sebabkan itulah, ramai yang mengambil kesempatan untuk menjadikan tarikh-tarikh ini sebagai sebahagian daripada kenangan terindah mereka. Ada yang telah menetapkan tarikh inilah mereka akan mengikat tali pertunangan ataupun menaiki jinjang pelamin. Dan jangan terperanjat jika wang hantaran atau  mas kahwin pun ditetapkan mengikut tarikh unik ini. Kalau cam tu akak tak nak ambil tarikh tahun ini, sikit je. Baik ambik tarikh 20.02.20. Wah banyaknya wang hantaran. Bukan setakat artis, golongan bukan artis sekarang pun dah mula mengabadikan tarikh-tarikh istimewa ini sebagai hari istimewa mereka. Apa-apa ajelah asalkan bahagia hingga ke hujung nyawa.

Selain daripada perkahwinan ada juga yang memilih tarikh sebegini untuk melahirkan anak. Selalunya  ibu-ibu yang bersalin secara pembedahan boleh le berbuat begini. Tapi kena tengoklah pula dah berapa bulan kandungannya. Takkan baru mengandung dah nak bersalin.  Bagi ibu2 yang bersalin normal, seratus peratus lah tak bolehnya, kecuali dah tiba masanya baby nak keluar pada tarikh tu.

Kebanyakkan stesen radio hari ni pun mengutarakan isu tentang tarikh 11.11.11 ni. Ramai juga respon yang menarik dari para pendengar. Untuk anak murid jangan lak sibuk nak dapat nombor 11 dalam kelas ye. Kalau boleh biarlah buangkan sepuluh tinggalkan nombor 1 sahaja. Lagilah istimewa kalau murid sentiasa berada di angka 1 dalam apa jua perkara baik yang mereka lakukan.
Yang tak baik janganlah nombor 1 juga.

Angka tetap angka yang tak akan merubah apa2. Tarikh juga tetap tarikh yang akan sentiasa bertambah setiap tahun. Tarikh yang menarik atau indah tetap akan muncul selagi bumi berputar. Yang pasti bila tarikh berubah umur kita juga akan bertambah.

Khamis, 20 Oktober 2011

Saja nak cerita

Minggu ni kebanyakkan sekolah mengadakan peperiksaan akhir tahun.  Dapatlah merehatkan minda seketika. Suasana sekolah juga lebih aman berbanding biasa. Tapi cikgu tak lah goyang kaki pulak sepanjang periksa ni. Walaupun kurang bercakap, tapi cikgu perlu mengawas pelajar. Tak boleh buat kerja lain selain memerhatikan murid. Maklumlah budak sekarang ni terlampau bijak. Ada saja kaedah terkini yang mereka buat untuk meniru. Tapi sebijak mana pun mereka, bijak lagi cikgunya. Akhirnya tertangkap juga. Golongan murid yang suka meniru tak lah ramai. Hanya sorang dua sahaja.

Bila dah mengawas pelajar dalam keadaan yang sunyi sepi, mulalah kelopak mata ni seakan2 ditarik untuk tertutup. Mengantuk tahap gaban dibuatnya. Tak boleh akak bayangkan, jika umur 60 tahun nanti, akak duduk di dalam kelas mengawas peperiksaan.  Bukan setakat boleh tertidur,siap dengan mimpi2 lagi kot.  Rasa macam tak sanggup nak bekerja hingga umur 60 tahun. Nak naik tangga sekolah hingga ke tingkat 4, boleh ke lagi agaknya. Mau bergoyang sendi lutut.

Kebiasaannya untuk menghilangkan rasa mengantuk di dalam dewan periksa, akak suka melihat telatah murid. Macam-macam gaya yang kadang2 membuatkan akak ketawa sendiri. Ada murid yang tersenyum (mungkin soalan senang kot), tak kurang juga yang bercakap sendiri (mungkin mengingat kembali apa yang di baca), ada murid yang mengetuk2 kepala (mungkin nak keluarkan maklumat yang dah tersangkut), ada yang cool  dan yang paling hebat ada yang dah tertidor (mungkin dah siap atau tak tahu nak jawap). Walau apapun cara mereka, soalan tetap perlu di jawap tak kiralah jawapannya betul atau salah.

Habis peperiksaan, satu lagi kerja menyusul. Semak kertas pelajar. Semua pelajar mengharapkan markah yang terbaik. InsyaAllah jika ada usaha yang konsisten, dapatlah markah seperti yang mereka inginkan, Tetapi kalau lansung tak berusaha, menyesal pun tak berguna.


Rabu, 19 Oktober 2011

Kesibukan dan masa

Assalamualaikum. Dah hampir sebulan tak menjengok blog sendiri. Bukan setakat tidak menulis apa2 entry, nak blogwalking pun tak berkesempatan. Kalau rumah di tinggalkan sebegini lama, dah tentu dipenuhi habuk dan bersawang. Rindu jugak kalau dah lama tak menulis ni. Nak dikatakan sibuk tak lah sesibuk mana pun. Tapi kekangan masa menyebabkan blog ini sepi seketika.

Bila dah lama tak menulis, tak tahu pulak apa entry yang akak nak buat kali ni.  Sebagai warming up, akak nak buat entry tentang kesibukan masa.

Bila sebut pasal sibuk, rasanya semua orang mengalami masalah ini. Allah SWT telah memberikan setiap seorang dari kita 24 jam sehari. Ada yang boleh melunaskan banyak perkara dalam tempoh itu dan ada juga yang hanya boleh buat sebahagian sahaja  dan ada pula yang langsung tak dapat berbuat apa2 dalam tempoh 24 jam. Apa yang penting di sini ialah pengurusan masa yang betul atau dalam kata orang putih `Time management'. Bagaimana cara kita menguruskan masa dengan berkesan. Mungkin akak ni tergolong dalam orang yang kurang pandai menguruskan masa. Sebab itulah terasa terlalu sibuk sangat. Padahal tidak. Macam masa pulak yang menguruskan akak. Mana tidaknya setiap hari akak mengejar masa. Bila tidak pandai menguruskan masa, banyak kerja akan tertangguh, yang mudah pun akan buat kita jadi stress. 

Musim peperiksaan pun sudah bermula. Murid2 yang menduduki peperiksaan juga sibuk membuat ulangkaji. Mereka juga perlu tahu menguruskan masa. Bila masa nak buat revision, bila nak makan, bila nak berehat dan beriadah. Kalau tidak tentu ada pelajar yang stress. Bila tiba hari peperiksaan, ada yang sakit perut dan ada juga yang muntah. Ini semua kerana emosi mereka  terganggu seketika. Kalau jadi begini, nak jawab soalan peperiksaan pun dah rasa tak de mood. Jadi pandai2 lah menguruskan masa wahai pelajar2 semua. Masa tu sangat2lah berharga. Masa itu kan Emas.

Bagi kita yang bekerja memang sentiasa mengejar masa. Nak pergi kerja, nak hantar anak ke sekolah, nak hantar anak ke rumah pengasuh, nak sarapan dan nak masuk ofis tepat pada masa. Kalau tidak punch card merah pulak. Kalau di Ipoh ok lagi kerana jalanraya jarang2 sesak tapi kalau di KL tentu lebih stress. Balik rumah dah petang. Sambung balik kesibukan dengan urusan di rumah pulak.  Kesian anak, ibu bapa sibuk memanjang dan kekurangan masa untuk mereka. Jadi pandai-pandailah kita mencari masa yang berkualiti untuk bersama anak2 dan keluarga.

Kesibukan juga membuatkan masa bertambah singkat. Pejam celik pejam celik tahun 2011 dah pun hampir ke penghujung. Nak masuk tahun baru, umur pun bertambah. Kenalah fikir bagaimana nak memanfaatkan masa ni dengan sebaik mungkin. . Masa takkan menunggu kita dan tak mungkin sesekali diundurkan. Teringat pulak akak, lagu dari kumpulan nasyid Raihan, Demi Masa. Banyak mesej dalam lagu tu untuk renungan kita semua. InsyaAllah.



Kata orang, masa lampau tak perlu di kenang, masa depan perlu dirancang. Namun kadangkala mengimbau masa lampau memberi seribu kenangan terindah. Merancang masa depan pula amat penting untuk memajukan diri kita.



WORDLESS WEDNESDAY - ikut adat

Cincin pertunangan

Tepak Sireh


Barang Hantaran

Khamis, 29 September 2011

Pagi yang penuh emosi

Kita hanya merancang, hanya Allah SWT yang menentukan. Dari hari jumaat lepas anak bongsu akak  dah rasa teruja kerana sekolah agama rakyatnya akan mengadakan jamuan hari raya pada hari terakhir syawal(Rabu). Dia dah berangan2 nak membawa mee goreng. Biasalah budak2, bila dah itu yg dihajatnya, maka hari2 itu ajelah yg diingatnya pada akak. Dialog yg sama. "Ibu ingat ye, hari rabu nanti adik nak bawa mee goreng". Dalam Sehari dekat dua tiga kali dia ingatkan akak ni.  
  Maka bila tiba harinya, pagi2 lagi akak dah sediakan bahan2 untuk memasak. Tak taulah sedap ke tidak. Tapi untuk budak2 pastikan ianya kurang pedas. Dengan gembira dan penuh kasih sayang akak pun mula menumis. Satu demi satu dicampakkan ke dalam kuali. Baru je akak nak meletakkan sedikit garam, satu detik paling tragis terjadi. Alamak.............gas habis le pulak. Panik akak di buatnya. mana nak dapatkan gas pagi2 buta. Kedai gas pun tak bukak lagi.
Apa yang muncul dalam fikiran akak ialah wajah hampa anak akak, emosi jadinya akak pagi2 ni. Hajat anak bawa mee goreng hancur berkecai. Serba salah akak nak mengejutkannya untuk ke sekolah. Macam mana nak mulakan ayat yang tak menyedihkan dia. Nak tukar dengan menu lain pun dah tak sempat. Bahan2 pun tak de. Bila akak beritahu cerita yang terjadi nampaknya dia faham tapi riak wajahnya menunjukkan kehampaan. Sepanjang perjalanan ke sekolah dia lebih banyak diam. Mungkin dia sedih. Akak pun turut rasa apa yg dia rasa.

Supaya anak tak pergi jamuan dengan tangan kosong, akak pun singgah kat gerai tepi jalan, beli kuih dan isi dalam bekas yang akak dah siap bawa dari rumah. Nampak macam buatan sendiri je. Nasib baik anak akak nak juga bawa kuih tu. Buatnya dia kata nak mee goreng juga. Terpaksalah akak singgah restoren mamak. Pengalaman hari ni membuat akak terfikir, kena spare satu lagi tong gas untuk saat kecemasan.
Kalau tidak beginilah jadinya.

Selasa, 20 September 2011

3H 2M di Pulau Pinang

UPSR dah berakhir. Bukan saja anak2, ibu bapa dan guru pun boleh menarik nafas lega. Hilang sudah semua stress yg ditanggung beberapa bulan ni. Oleh kerana dah hilang segala stress, akak pun mengambil peluang bercuti dengan keluarga. Lagi pun dapat cuti panjang sempena Hari Malaysia, boleh le pi makan angin. Bila hari bekerja, masing-masing sibuk. Peluang begini  sangat baik untuk merapatkan lagi hubungan dan kasih sayang dalam keluarga. Akak pilih tempat yg tak jauh,  jadi tak lah letih suami nak memandu. Akak ni co-pilot je, kalau rasa mengantuk leh tido. Sedar2 dah pun sampai.

Destinasi yg kami tuju ialah Pulau Pinang. Setiap kali bercuti,  Pulau Pinang mesti ada dalam senarai. Makna kata, destinasi wajib le. Bukan saja dekat tapi banyak tempat menarik yg boleh dilawati di negeri ni. Makanannya pun boleh tahan sedapnya.

Hari pertama Jumaat (16/9/2011)
Mengikut perancangan nak bertolak pagi2 lagi. Tapi terbabas juga akhirnya. Leka menonton perarakan Hari Kemerdekaan kat TV. Cantik, menarik dan tertarik melihat persembahan yang diadakan di dataran merdeka. Dapat tgk sikit pun jadilah.

Oleh kerana lambat buat tempahan, banyak hotel disekitar pantai  dah penuh. Nasib baik ada satu hotel yg masih lagi ada bilik. Lokasinya pun bagus. Di tengah2 bandar Pulau Pinang. Yang penting, ada kolam sebab anak bongsu akak ni suka berendam. Sekejap pun tak pe katanya.

Suka dapat main air.
Bila berada di Penang, tempat yg menjadi tumpuan tentulah di Pasar Cowrasta. Macam-macam ada di sini. Nak makan boleh pi line clear. Nak dapat sepiring nasi pun kena beratur panjang.  Paling popular ialah tempat menjual pelbagai jenis jeruk. Tak sah kalau mai penang tak beli jeruk2nya. Tapi akak tak beli pun kali ni, perut dah tak berapa nak tahan makan masam2.

Sebelah malam akak ke padang kota. Salah satu tempat tumpuan juga. Makanan yang orang mesti cari tentulah rojak pasembor, kerang bakar atau laksa penang. Memang terangkat sedapnya.

Ini antara bukti rojak pasembornya tersangat sedap.  Hampir licin....

 Kerang bakar yg menjadi kegemaran anak2. Sosnya pun sedap.

Lepas makan boleh jalan2 di sepanjang kaki lima sambil melihat laut yg terbentang luas. Tapi bila malam tak berapa jelas pemandangannya.

Hari Kedua Sabtu (17/9/2011)
Salah satu tempat yg paling kerap akak dan keluarga pergi ialah Taman negara Pulau Pinang yg terletak di Teluk Bahang.  Anak2 dan suami suka jungle tracking. Ini adalah kali ke tiga kami sekeluarga ke taman negara. Langkah kanan pulak hari ni kerana ada rumah terbuka aidilfitri di dataran Taman Negara.
Walaupun masa kami sampai banyak juadah yg dah habis, tapi cukup untuk merasa dan melihat kemeriahan rumah terbuka di negeri orang.

Rumah terbuka aidilfitri

Sebelum masuk ke Taman Negara, kita perlu mendaftar di kaunter pendaftaran, proses biasa untuk mengetahui jumlah yg masuk dan tempat yg nak dituju. Dalam Taman Negara ni banyak lokasi menarik yg boleh kita singgah. Cabarannya pun berbeza2. Ada yg senang kalau jalannya mendatar, kalau naik bukit sedikit mencabar terutama bagi akak yg tak berapa muda lagi ni. Anak2 dan suami mmg tak de masalah.

Kali ni kami target untuk ke Monkey Beach atau pun teluk duyung. Berjalan kaki dari pintu masuk mengambil masa selama 1 jam 45 minit. kalau naik bot hanya beberapa minit, tapi  kena bayar
RM 250.00. Naik bot tak adventure kata anak2. Jadi kami pilih meredah hutan, mendaki dan menuruni bukit. Dapat juga melihat flora dan fauna yg masih lagi segar. Sesekali meredah hutan teruja juga walaupun ada sedikit perasaan takut. maklumlah dalam hutan macam-macam boleh jumpa.


Biawak besar ni mmg banyak kat dalam taman negara ni.
Seronok tgk ketam yg berkeliaran di tepi pantai

Papan tanda arah. Nak sampai sini pun hampir 20 minit

Salah satu laluan yg mencabar. Semput nak mendaki.


Walaupun penat, masih lg sempat berposing.
Abaikan pakaian mereka. Mmg tak sesuai untuk tracking.


Laluan yg paling senang apabila menyusuri tepian pantai


Apa ni ye. Kena tanya cikgu geografi le pulak


Pemandangan pantai yg belum tercemar. Masih bersih dan cantik.
Abaikan aksi di atas.


Jauh lagi tempat yg kami nak pergi ni. Di bawah sana tu laut.


Setelah 1 jam meredah hutan, kami sampai di Teluk Aling. Ada USM di sini.

Salah satu pemandangan menarik di Teluk Aling

Berehat sebentar sebelum ke destinasi seterusnya

Perancangan nak ke Monkey Beach terpaksa di batalkan. Bukan tak larat tapi melihat laluannya yang kurang elok, menakutkan akak. Anak2 kecewa tapi mereka perlu akur pada ibunya. Tambahan pula, kami memerlukan lebih kurang 40 minit lagi untuk sampai ke sana.  Mungkin lain kali kami akan ke sana dengan pakaian yg lebih sesuai untuk tracking.

Hari Ke tiga, Ahad (18/9/2011)
Sebelum balik ke Ipoh, kami singgah di Museum Perang yang terletak di Batu Maung. Bayaran masuk RM 20.00 untuk orang dewasa. Tapi berbaloi kerana kawasan yg akan dilawati mmg luas. Macam2 informasi yg boleh kita terokai di sini. Satu pengalaman baru bagi anak2.

Di hadapan pintu masuk

Antara alatan perang yg terdapat didalam museum

Salah satu terowong laluan tentera untuk ke atas.
Nak masuk kena merangkak dan memanjat tangga.
Sesiapa yang gayat tak digalakkan sebab tangganya tinggi.

Kubu pertahanan tentera

Seram!!!!. Tempat pancung kepala
Di atas sana banyak lagi tempat yg perlu diterokai

 Banyak lagi yg menarik di museum perang ni. Cuma akak tak sempat melawat habis kerana hujan turun mencurah-curah. Apa2 pun peluang melawat museum perang dunia kedua ni memberi satu pengalaman yang
indah untuk kami sekeluarga.




Isnin, 12 September 2011

Semoga Kejayaan Menjadi Milikmu

1 Syawal telah pun berlalu tapi suasana berhari raya masih lagi terasa. Tambahan pula ramai yang masih lagi mengadakan rumah terbuka. Begitulah meriahnya sambutan hari raya aidil fitri ni. Hingga ke hujung Syawal pun masih lagi ada jemputan  ke rumah terbuka.

Dalam sibuk2 rumah terbuka, anak-anak kita yang bakal menduduki peperiksaan UPSR pada hari Selasa ni tentu dah mula kecut perut. Bagi yg dah lama bersedia mungkin sudah tak sabar nak menghadapi peperiksaan. Bagi yg suka belajar saat2 akhir dah tentu sedikit menggelabah dibuatnya. Serba tak kena. Mana yang nak dibaca dulu pun dah tak tahu. Apa2 pun harap bertenang, jangan  sampai mengganggu emosi untuk menghadapi peperiksaan.

Tahun ni seorang lagi anak akak   terlibat dalam peperiksaan UPSR. Anak yang nak periksa, mak yang rasa nak demam. Anak rileks je, mak yang kelam kabut suruh buat itu ini. Bukan apa, sekadar memastikan anak dah bersedia fizikal dan mental.  

Semoga semua anak2 tahun 6 dapat menjawab kesemua soalan dengan baik dan beroleh keputusan yang cemerlang. Insyaallah. Jaga kesihatan sepanjang peperiksaan dan tenangkan fikiran.
Tidur lebih awal dan jangan lupa solat dan berdoa.
Lebih baik lagi, mohon restu dari ibu dan bapa dan juga guru-guru yang banyak berkorban demi melihat kejayaan anak2 semua.

Untuk semua guru SK Sg Rokam Ipoh, jutaan terima kasih diucapkan kerana telah banyak berkorban tenaga dan masa untuk memastikan kejayaan anak2 murid termasuk anak akak ni.  






Sabtu, 27 Ogos 2011

Syawal yang dirai


Dalam kerendahan hati
Ada ketinggian budi
Dalam kemiskinan harta
Ada kekayaan Jiwa
Dalam kelembutan lidah
Ada keterlanjuran kata
Dalam gurau senda tentu
Ada khilaf dan dosa
Mohon kemaafan atas salah dan silap
SELAMAT HARI RAYA
MAAF ZAHIR BATIN




Untuk semua yg sudi mengunjungi blog akak, selamat  meraikan Syawal yg bakal tiba.
Moga syawal ini dapat mengeratkan lagi tali persaudaraan sesama kita. Insyaallah.




Isnin, 22 Ogos 2011

Dah nak raya

Diam tak diam, bulan Ramadhan sudah hampir meninggalkan kita. Dalam meniti hari-hari penghujung puasa, tentu ramai yg mengambil kesempatan meningkatkan lagi amal ibadat untuk mendapat lebih imbuhan. Lebih-lebih lagi 10 hari terakhir Ramadhan terdapat malam kemuliaan atau Lailatul Qadar. Jika diizinkan Allah SWT, mungkin kita dapat bertemu dengan malam yang mulia itu. Semoga ibadah puasa kita tahun ini di terima oleh Allah SWT dan diharap dapat bertemu lagi bulan Ramadhan pada tahun hadapan. Insyaallah.

Syawal sudah semakin hampir, bermakna tak lama lagi kita akan menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Sana-sini orang sibuk membuat pesiapan. Pergi mana-mana shopping kompleks semuanya penuh. Sampai tak de ruang nak mencelah. Nak cari tempat parking pun susah.  Nasib tak baik kena parking jauh dari tempat yg nak di tuju. Tak apa asalkan dapat gak pergi shopping. Persiapan raya selalunya dahulukan anak-anak. Bila semua keperluan anak-anak dah settle barulah cari untuk maknya pulak. Tahun ni nasib baik baju raya yg ditempah dah siap. Kalau tidak, pakai le baju yg ada macam tahun lepas. Tukang jahit tak sempat siapkan baju.

Kuih raya tunjuk-tunjuk pun dah mula sampai satu persatu. Sediakanlah duitnya. Kadang-kadang sampai tak ingat, betul ke aku ada order kuih ni. Tapi dah diletak atas meja, tentulah kita yg punya. Jadi bayar ajelah. Risau pulak terlebih bajet.

Lagu raya pun dah mula berkumandang distesyen2 radio. Bila dengar lagu raya rasa sedih ada, gembira pun ada. Paling suka mendengar lagu raya ialah anak bongsu akak. Macam akak masa kecil dulu le. Barulah terasa suasana nak beraya. Lagu raya yg paling terkesan untuk akak  tentulah yg versi lama, macam lagu2 ni:





Bila dengar lagu2 tu teringat kat arwah ayah dan ibu. Terasa berbeza sambutan hari raya tanpa kedua orang tua. Walaupun kita dah ada keluarga sendiri, tapi kehadiran mereka sangat-sangat bermakna. Arwah mak lah orang yg paling sibuk menyediakan juadah untuk pagi raya. Apa saja yg anak-anak minta pasti arwah mak akan cuba sediakan. AL-FATIHAH untuk arwah mak dan abah.


Hujung minggu ni pasti ramai yg sudah mula balik ke kg halaman masing-masing. Dalam kita teruja nak balik beraya pastikan semuanya dirancang dengan baik. Rumah yg nak ditinggalkan beberapa hari pun kena pastikan selamat. Lebih-lebih lagi bila memandu. Pandu dengan cermat ingatlah orang tersayang. Kalau kita baca dalam surat khabar dalam beberapa hari ni, banyak sangat kemalangan maut yg menyedihkan. Biarlah kita lambat sampai asalkan kita dapat sampai dengan selamat. Ikutlah jadual perjalanan yg selalu disediakan pihak PLUS setiap kali musim perayaan.


Dan yg paling penting tunaikan kewajipan kita dengan menunaikan Zakat Fitrah.

Sabtu, 20 Ogos 2011

Kibarkan Jalur Gemilang 2

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!


Tidak lama lagi negara kita akan menyambut kemerdekaan yang ke 54.
Sekolah akak pun tak mahu ketinggalan merealisasikan hasrat kerajaan untuk melihat semua premis mengibarkan Jalur Gemilang.. Boleh dikatakan setiap sudut sekolah diletakkan Jalur Gemilang.  Lebih membanggakan murid-murid turut sama menyemarakkan sambutan kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang di dalam kelas masing-masing. Walaupun kawasan sekolah agak sempit,  tapi tidak mematahkan semangat untuk sama-sama menghayati bulan kemerdekaan yg penuh nostalgik ini. Dalam usaha untuk menanam semangat jitu cintakan negara dalam kalangan pelajar, mereka seharusnya terlebih  dahulu perlu diajar mengenali dan menghormati bendera negara. Bila mereka tahu menghargai dan menghormati bendera, mereka juga secara tak langsung akan menghargai dan mencintai negara.

















Semangat patriotik yang dijana secara terancang dan berterusan akan dapat melahirkan warga Malaysia yg mempunyai semangat patriotik sepanjang hayat. Bersama-samalah kita menghargai jasa pemimpin yang telah berkorban dalam mencapai kemerdekaan dan membangunkan negara. Hargailah apa yang kita ada hari ini demi masa depan generasi akan datang


MALAYSIA ' WO AI NI'


SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN KE 54

Isnin, 15 Ogos 2011

Kutip derma, Jual CD, Jual minyak angin

Petang tadi saja suka2  melawat bank. Dengar cerita bonus dah masuk. Terima kasih PM yang menyegerakan pemberian bonus kepada penjawat awam. Alhamdullillah rezeki di bulan Ramadhan dan untuk menyambut kedatangan Syawal.

Sambil tersenyum-senyum keluar dari bank terpacul di depan akak, dua orang budak lelaki yang juga tersenyum penuh makna. Mereka memberi salam dan akak pun menjawab salam dengan senyuman juga. Kemudian mereka menghulurkan buku resit dan meminta akak memberi sumbangan ikhlas. Tertulis di buku resit nama sebuah pusat tahfiz. Akak pun mengajukan beberapa soalan dan mereka menjawab dengan ikhlas. Anak-anak ini berpuasa dan masa tu jam sudah pun hampir pukul 6.30 petang. Kata anak-anak ini ustaz akan datang mengambil mereka pada pukul 7 ptg. Kesian anak-anak ini.
Berdiri di depan bank sejak pukul 3 ptg dalam cuaca yg panas.
Dengan  sabar menunggu org yang sudi menghulurkan derma.
Mmg orang kita kebanyakkannya suka menderma lebih-lebih lg di bulan yang mulia ini.
Ramai yg dtg kepada anak-anak ini dan memberikan sumbangan. Alhamdullillah.

 Teringat akak pada hari sabtu lepas. Sedang jalan-jalan cari makan di bazar ramadhan, ada seorang budak lelaki yg dtg kepada akak dan meminta sumbangan. Buku resit yg sama dengan anak-anak ni tadi. Bayangkan lah merata-rata tempat anak-anak ini di letakkan untuk mengutip derma. Di depan bank ada, stesyen minyak, kedai-kedai makan pun mereka ada. Kat bazar ramadhan pun mereka ada. Kadang-kadang mereka menjual CD, minyak angin dan juga kalendar. kata anak-anak ini  kutipan yg mereka buat adalah  untuk sekolah mereka. Rasa simpati kat mereka ni. Bukankah sepatutnya mereka membuat kerja sekolah atau membuat ulangkaji pelajaran. Paling tidak pun beriadah bersama kawan-kawan atau membantu mana yg patut untuk menyediakan juadah berbuka puasa. Inilah realiti kehidupan anak-anak ini. Semoga tidak ada mana-mana pihak yg mengambil kesempatan ke atas anak-anak ni demi kepentingan sendiri. Mmg niat yang baik melatih mereka berdikari tapi biarlah kena caranya.
Semoga anak-anak ini beroleh kebahagiaan dan kesejahteraan dunia dan akhirat. Amin.







Khamis, 4 Ogos 2011

Kibarkan Jalur Gemilang 1

 
Bulan Ogos sudah masuk hari yang ke empat. Kita pun dah berpuasa selama 4 hari. Bulan Ogos juga adalah bulan di mana negara kita menyambut hari kemerdekaan. Tahun ini adalah tahun yang ke 54 negara kita merdeka. Telah menjadi kebiasaan mejelang kemerdekaan, kempen mengibarkan Jalur Gemilang  turut di lancarkan.

Tahun ini kempen kibarkan Jalur Gemilang telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia pada 27 Julai 2011 di KL Sentral bertemakan 'Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera'.

Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu berbangga untuk turut sama mengibarkan Jalur Gemilang yang merupakan salah satu identiti negara kita.  Sama-samalah kita mengibarkan bendera untuk menzahirkan rasa cinta dan patritotisme kita terhadap negara. Selain itu, ia juga dapat menyemai rasa kekitaan dan perpaduan seluruh rakyat Malaysia khusunya kalangan generasi pasca merdeka.

Jangan kita rasa malu sebaliknya perlu berbangga mengibarkan bendera negara di mana-mana sahaja. Baik di rumah, pejabat, sekolah mahupun di kenderaan. Lebih patriotik jika bendera itu kita beli sendiri dan gantung sendiri di kediaman atau kenderaan kita. Mana-mana yang dah lusuh atau dah koyak ganti le dengan yang baru.

Jadi  tunggu apa lagi....Semarakkan sambutan Hari Kemerdekaan Negara yang ke 54 dengan mengibarkan Jalur Gemilang. Tahun ini sambutan Hari kemerdekaan di adakan pada 16 September 2011 kerana tarikh 31 Ogos jatuh pada Hari Raya Aidil Fitri.  1 Malaysia:Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera.

Kibarkan Bendera Kita

Hormatlah Bendera Kita
Ia lambang negara
Bersatu padu Kita Di bawahnya
Hidup Berkeluarga
Putih Merah Biru Kuning
Warna Bendera Kita
Berkibar-kibar Megah Di angkasa
Kemegahan Semua
Kibarkan Bendera Kita